Monday 13 June 2016

RESIPI 005: Mince Pie (+Pesan Chef)


Bahan-bahan:
• 225gm Mentega sejuk, dipotong dadu
• 250gm Tepung gandum
• 50gm Serbuk badam
• 50gm Susu tepung
• 100gm Gula kastor
• 280gm Mince meat – yang dibeli di Supermarket untuk inti pie
• 1biji Telur kecil
• Gula icing untuk ‘dusting’
• Secubit garam

Cara-cara:
1. Untuk membuat pastri, ayak tepung gandum, susu tepung dan serbuk badam dan garam bersama. Kemudian gentelkan mentega bersama adunan yang diayak tadi dengan menggunakan hujung jejari saja.

2. Bila sudah bercampur seperti ‘abuk roti’ yang kasar, uli seketika dan dibulatkan menjadi sebiji bola. Simpan di dalam peti sejuk selama 15-20 minit.

3. Panaskan oven ke suhu 180 darjah selsius. Sambil itu bulat–bulatkan doh tadi dan penyek dan leperkan ke dalam lubang cetak pie kecil berukuran 2 inci diameternya. Pastikan pastry sama tebal keseluruhan lantai dan dinding cetak pie.

4. Sudukan minced meat ke dalam kelongsong pie tadi kemudian ditutup dengan pastry yang selebihnya dicanai tipis menggunakan penggiling. Picit–picit sekeliling pie supaya ianya tidak terbuka bila dibakar.

5. Pukul telur dengan garfu dan beruskan telur ke atas pie menggunakan berus pastri dan bakar selama lebih kurang 20 minit.

6. Sejukkan di atas jejaring pastri (cooling rack) dan di’dust’kan dengan gula icing menggunakan penapis teh.

PESAN CHEF:
1) Bila mencampurkan mentega dan tepung, hanya gunakan hujung jari kerana tapak tangan kita suhunya jauh lebih panas dan ini akan menyebabkan mentega cair dan adunan menjadi lembab.

2) Sila pastikan kandungan ‘mince meat’ yang dibeli kerana pada lazimnya ada campuran Brandy di dalamnya.

3) Kulit oren dan lemon juga boleh dicampurkan dengan inti ‘mince meat’ untuk memberikan sentuhan ‘home-made’ dan rasa yang lebih menarik.
Sekian.

P/s: Sudi-sudikanlah mencuba dan berkongsi resipi ini dengan rakan-rakan anda. Semoga bermanfaat. Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment